ILMU sangat penting dalam kehidupan. Untuk hidup di dunia manusia memerlukan ilmu. Untuk hidup di akhirat pun perlukan ilmu. Jadi kita kenalah menuntut ilmu, sama ada ilmu untuk keselamatan dunia, lebih-lebih lagi ilmu yang membawa kebahagiaan akhirat. Atas dasar itulah Islam mewajibkan menuntut ilmu itu. Bahkan dalam Islam menuntut ilmu itu dilakukan tanpa had atau tempoh tertentu, ia mesti dilakukan sedari dalam buaian hinggalah ke liang lahad. Ini diberitahu oleh Rasulullah dengan sabdanya:
Terjemahannya: Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad.
Selagi ilmu itu membawa faedah pada kita maka kalau ke negeri China pun termasuk Amerika dan Eropah, memang dibenarkan. Cuma persoalan yang timbul sekarang ialah ilmu yang bagaimana yang disuruh tuntut itu? Ya, ilmu yang membawa faedah pada hidup di dunia dan di akhirat. Soalnya apa bentuk faedah yang dimaksudkan? Sebab bukan semua yang berfaedah pada kita itu, berfaedah juga menurut Islam. Sebab ukuran faedah pada Islam ialah ilmu yang tidak melalaikan manusia daripada Allah SWT. Lalai dalam ertikata derhaka, iaitu perintah Allah tidak diikuti, larangan Allah dibuat juga. Lupa akhirat kerana terlalu tumpu kepada dunia. Dan lalai, dengan maksud ihnu itu membuatkan manusia sombong, takabur dan lupa diri selaku hamba Allah yang hina dina dan miskin papa.