Monday, February 11, 2013

PROSES MEMBAIKI UMAT

Masyarakat Islam, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia sudah rosak. Masyarakat Islam sudah kusut,sudah haru-biru. Sudah huru-hara, kelam-kabut, tidak berakhlak dan tidak berdisiplin. Umat Islam tidak sehaluan, tidak bersatu padu, tidak sependapat dan tidak bersatu fikiran. Masing-masing ada tujuan-tujuannya yang tersendiri, tidak seia sekata, tidak bergerak serentak dan seirama. Mereka bersimpang si dan tidak menuju kepada matlamat Islam yang satu.

Mereka tidak tersusun dalam satu barisan yang indah dan rapi. Mereka bercelaru. Ada yang ke hulu, ada yang ke hilir. Ada yang ke darat dan ada yang ke baruh. Ada yang ke lurah, ada yang ke bukit. Ada yang ke timur dan ada yang ke barat. Hasilnya, umat Islam berlanggar, bertembung dan berlaga sesama sendiri. Umat Islam rosak dan rugi.

Orang kayanya sombong, suka berfoya-foya, suka membuang masa dan suka membazirkan kekayaan mereka.

Orang miskin tidak sabar. Merungut sana, merungut sini Mengeluh sana, mengeluh sini. Sentiasa sahaja resah dan gelisah.

Cerdik pandainya mementingkan diri. Asyik mengumpul harta dan mengejar jawatan dengan ilmu mereka.


Muda-mudinya hidup tidak tentu hala. Tidak ada arah tujuan. Tidak ada matlamat hidup. Berkumpul membuang masa dan melepak merata-rata. Mereka buat apa sahaja yang seronok dan yang boleh memuaskan hawa nafsu mereka.

Para pemerintah dan penguasa sudah tidak mendidik lagi. Mereka sudah tidak memimpin. Mereka tidak lagi mengajar, mengasuh, membimbing dan menjadi contoh kepada rakyat. Mereka hanya menggertak, membentak, mengancam, mengugut dan menakutkan rakyat dengan berbagai akta, undang-undang, hukuman dan sekatan. Semuanya sibuk hendak jadi kaya. Sibuk menjaga kepentingan politik masing-masing.

Kehidupan berkeluarga sudah punah-ranah. Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan lagi dalam keluarga. Tidak ada hormat dan kasih sayang. Anak-anak resah dan gelisah bila di rumah. Mereka lebih suka hidup di luar.

Masyarakat Islam sudah ibarat kain buruk yang luntur warnanya. Berculang-caling, bertompok-tompok. Ada tompok hitam, ada tompok kelabu, ada tompok merah, biru, kuning dan sebagainya. Ini kerana ia telah dipengaruhi dan dirosakkan oleh berbagai hal dan keadaan. Comot sungguh rupa masyarakat Islam hari ini. Sakit dan jijik mata memandangnya.

Apa harus kita buat? Bagaimana dapat kita perbaiki keadaan umat dan masyarakat Islam yang sudah kronik ini? Dengan apa harus kita mulakan? Dengan duit? Dengan hiburan? Dengan politik? Dengan ilmu? Dengan teknologi? Dengan kemajuan? Dengan pembangunan? Dengan ekonomi? Atau dengan apa?

Jawapannya mudah. Tersangat mudah. Jawapannya tidak perlu dicari di merata-rata dunia. Ia terpapar jelas pada wahyu dan sunnah. Iaitu dengan Iman dan Ilmu.

Iman dan Ilmu ini mesti ditanam di hati umat Islam melalui tarbiah atau pendidikan. Hanya melalui pendidikan sahaja baru datang penghayatan dan penjiwaan. Kalau iman dan ilmu ini disampaikan hanya melalui taalim atau pengajian sahaja laitu belajar, masuk periksa, lulus dan diberi sijil atau ijazah, ia akan hanya menjadi satu kemegahan dan, kebanggaan, bukan suatu amalan. Tidak akan ada penghayatan dan penjiwaan.

Dari penghayatan dan penjiwaan Iman dan Ilmu, baru akan timbul rasa cinta pada Allah. Selepas cinta, akan datang rasa takut pada Allah.

Dari rasa takut pada Allah inilah, akan timbul ketaatan. Umat Islam akan melaksanakan hukum hakam dan syariat Tuhan. Mereka akan buat apa yang Allah suruh dan akan tinggalkan apa yang Allah larang.

Bila umat Islam mematuhi syariat Islam dan menjadikan seluruh syariat Islam itu sebagai sistem dan cara hidup mereka maka akan lahirlah satu bangsa yang bertaqwa. Taqwa itu bermaksud membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Bila suatu bangsa itu sudah sampai ke tahap tagwa, maka barulah akan datang bantuan dan pembelaan dari Allah Taala. Allah itu pembela bagi orang-orang yang bertaqwa. Dengan pembelaan Allah, akan datang kekuatan dan kedaulatan, dan umat Islam akan berjaya. Umat Islam akan menjadi kuat, berakhlak, berdisiplin dan akan menjadi obor kepada semua bangsa dan agama lain di dunia. Inilah proses dan methodologinya.

Ketika itu Islam difahami, dihayati dan diamalkan keseluruhannya. Penganut penganut Islam akan menjadi manusia yang beraqidah, beribadah, berakhlak, berdisiplin, cergas, aktif dan berhubung di antara satu sama lain. Akan lahir satu masyarakat yang berkasih sayang, berukhuwah, berpadu, maju, aman damai, bahagia dan harmoni.

Namun kaedah dan methodologi tidak ada apa-apa makna kalau tidak ada yang melaksanakannya. Mewujudkan kaedah atau methodologi adalah mudah. Tetapi untuk mencari orang yang layak dan mampu untuk melaksanakannya adalah satu perkara yang lain.

Oleh itu proses atau methodologi ini mempunyai satu syarat yang sangat penting. la memerlukan kepada seorang pelaksana yang akan memulakannya dan yang akan membawanya sampai ke hujung. Pelaksana ini mesti seorang yang istimewa. Dia mesti berbeza dari manusia yang akan dididiknya. Dia mesti berbeza dari orang-orang biasa.

Pelaksana ini juga mesti seorang pemimpin. Bukan pemimpin biasa. Bukan calang-calang pemimpin. Dia mesti seorang pemimpin yang beriman, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia yang dihormati dan disegani, yang disayangi dan dipatuhi. Dia mestilah seorang pemimpin yang sejati. Dia mestilah seorang pemimpin yang manusia akan menyerahkan hati mereka kepadanya.

Pemimpin seperti ini bukan boleh dibeli di mana-mana. Bukan boleh diimport. Bukan boleh diundi dan bukan boleh dilantik oleh manusia. Penumpin seperti ini datang dari Tuhan. Itu sebab ada hadith yang bermaksud

Kalau Allah hendakkan kebaikan pada sesuatu bangsa atau kaum, akan dihantarkan-Nya seorang pemimpin.

Pemimpin ini akan membawa rakyat kepada Tuhan. Akan membina keinsanan rakyat. Akan mendidik rakyat hingga menjadi manusia-manusia yang beriman dan bertaqwa hingga negara akan menjadi seperti yang Allah firmankan:

"Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan. " (As Saba' : 15)

Justeru itu, marilah kita sama-sama berdoa bersungguh-sungguh agar Tuhan segera menghantar pemimpin seperti ini kepada kita. Agar kita dapat dididik, dibimbing, dan dibawa kepada Tuhan. Agar kita dapat menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Agar kita dapat pembelaan dari Tuhan seperti mana yang dijanjikan-Nya.

Pemimpin yang kita cari, pemimpin yang kita pilih dan pemimpin yang kita lantik dari kalangan kita nampaknya tidak mampu membawa kita ke mana-mana. Dia tidak banyak beza dengan kita. Dia pun sebenarnya tidak mampu memimpin. Dirinya sendiri pun kita lihat tidak terpimpin. Paling tinggi, dia hanya mampu mentadbir hal-hal lahiriah dan material. Untuk selamat, kita tidak perlu kepada pentadbir. Kita perlukan seorang pemimpin yang sejati yang memimpin lahir dan batin kita.

No comments:

Post a Comment