Monday, April 29, 2013

Bangsa Dan Negara Dibesarkan, Tuhan Tidak Dipedulikan, Ini Jadi Kemurkaan Tuhan


Apabila rakyat di sebuah negara pemimpinnya, orang-orang kayanya, cerdik pandainya dan rakyat jelata merendah diri tanda bangsa itu Allah Taala hendak mengangkat menjadi penaung kepada manusia. Mereka akan diangkat dan ditinggikan oleh Tuhan menjadi empayar atau akan berdaulat di dalam negaranya,menjadi bangsa yang mulia, berwibawa, disegani dan dihormati.


Jika sesuatu bangsa setelah berjaya menjadi sombong suka menceritakan kebolehan-kebolehan dan jasanya kepada manusia mengangkat-angkat diri dan menghina-hina orang lain, suka pembaziran dan berfoya-foya di dalam kehidupan sering berlaku berbahas-bahas dan mujadalah terutama di majlis-majlis ilmu, juga terlalu suka bercakap sekalipun tidak perlu, suka menegur tidak suka ditegur, suka memberi nasihat tidak suka dinasihat, menunjuk-nunjuk kebolehan masing-masing dan berbangga, Tuhan dilupakan, hingga tersinggung orang-orang yang tidak mempunyai keistimewaan itu tanda bangsa itu hendak hancur dan runtuh.

Kalau bangsa itu menjadi empayar, empayarnya akan runtuh, jika berkuasa di sesebuah negara tanda kuasanya akan berakhir akan diganti dengan satu bangsa atau puak lain pula. Sama ada bangsa yang kejam untuk menghukum atau bangsa yang baik menggantinya, sebagai menghinanya.

Di antara ajaran sesat tidak dianggap sesat ialah memuja bangsa dan negara, bangsa dicintai, negara dipuja, Tuhan dilupa, Tuhan tidak dicintai bahkan tidak diambil kira.Cinta bangsa dan negara kerana Tuhan, itu memang dianggap mulia. Membela bangsa dan negara kerana Tuhan memang digalakkan bahkan diwajibkan . Cinta bangsa dan negara tidak dihubungkaitkan dengan Tuhan sesat-menyesatkan. Mana boleh membesarkan bangsa dan negara membelakangkan Tuhan 
sedangkan Tuhan adalah segala-galanya. Kita tidak boleh membesarkan sesuatu selain Tuhan.

Memang ada Hadis mengatakan cintakan tanahair setengah daripada iman dan Hadis itu memang tidak boleh dinafikan. Maksudnya pertahankan tanahair hingga bebas jadi senang untuk memperjuangkan Tuhan dan hak Tuhan. Kalau negara dijajah kebebasan memperjuangkan Tuhan dan hak Tuhan terhalang. Jadi kita sepatutnya cintakan bangsa dan tanahair dan ia ada hubung kait dengan cintakan Tuhan. Jika cintakan bangsa dan negara tersendiri, tanpa Tuhan satu kesalahan.

Membesarkan bangsa dan negara semata-mata, itu adalah syirik dengan Tuhan, orang yang berfaham kebangsaan semata-mata cintakan bangsa dan negara, Tuhan tidak diperjuangkan, Tuhan tidak diambil kira.Bahkan orang berfaham kebangsaan untuk sebut Tuhan mereka rasa ganjil dan menghairankan. Tuhan tidak ada di dalam kamus perjuangan mereka, Tuhan mereka tidak akan perjuangkan. Mereka hanya memperjuangkan bangsa dan negara semata-mata bahkan rasa bangga. Mereka malu hendak memperkatakan Tuhan dan mereka rasa inferiority komplex memperjuangkan Tuhan. Padahal bangsa dan negara tidak akan wujud tanpa Tuhan.

Sepatutnya Tuhanlah yang lebih patut dicintai dan dibesarkan, cintakan bangsa dan negara kerana ada hubung kait dengan cintakan Tuhan. Sepatutnya Tuhanlah segala-galanya, bukan bangsa dan negara segala-galanya. Kerana itulah umat Islam sedunia menjadi hina kerana meninggalkan Tuhan. Bangsa dan negara dibesar-besarkan Tuhan tidak dibesarkan. Maka perjuangan umat Islam tidak dibantu Tuhan. Tuhan berlepas tangan kerana murka kepada umat Islam .Mengapalah umat Islam sampai tersesat jalan. Bangsa dan negara dibesarkan, Tuhan tidak dipedulikan.

No comments:

Post a Comment