Monday, April 15, 2013

Kategori Umat Islam...


Empat kategori umat Islam yang beramal dengan Islam ialah:

1. Secara umumnya umat Islam beragama mengikut suasana tempatan atau mengikut environment tempatan. Ertinya Islam secara ikut-ikutan.
Katalah kita berada di satu kampung atau taman yang mana ramai umat Islam di situ sembahyang dan puasa. KIta pun Islam. Kita fikir, "Aku orang Islam. Kalau tak sembahyang, tak kena gaya." Maka kita pun sembahyang tetapi cuma hasil tengok-tengok orang atau dengar-dengar sahaja.
Cuma tambah-tambah sikit bacaan sebab takut Islam kita tak sah. 80% dari hasil melihat-lihat orang. Orang begini beragama mengikut keadaan setempat. Agama semacam ini tidak berdasarkan ilmu. Bila tidak berdasarkan ilmu tentu tidak berdasarkan kefahaman. Bila tidak faham sudah tentu payah untuk dihayati. Kalau tidak dihayati, patutlah ibadah kita tak berbuah.
Dalam satu kampung pun tidak boleh bersatu, tidak boleh sabar, bertolak ansur. Bahkan saling berhasad dengki dan bergaduh kerana agama yang diamalkan berdasarkan keadaan tempatan atau suasana. 

2. Golongan kedua beragama kerana warisan ibu ayahnya. Kita pun tak tahu sama ada mak ayahnya beragama itu hasil belajar atau tidak, hasil ikut kuliah atau pesantren. Atas dasar itu, anak-anak yang kerana taat mak ayahnya ikut sembahyang, ikut puasa dan dengar sedikit nasihat emak dan ayahnya. Yang ini rukun Islam yang 5, beres nampaknya. Ini lebih baik sedikit dari yang pertama tadi. Namun begitu, paling tidak 70% tidak berdasarkan ilmu dan kefahaman. Kalau begitu dia tidak boleh dihayati. Islam yang diamalkan tidak lahirkan akhlak mulia. Cara ini untuk lahirkan perpaduan, kasih sayang sesama keluarga pun tidak mampu. Cuma ia lebih baik sedikit dari yang pertama.

3. Golongan ini orang-orang yang mengamalkan Islam atas dasar dicorak, oleh tempat pengajian seperti di pesantren, sekolah agama, universiti Islam. Kita perlu faham, mengamalkan Islam cara ketiga ini lebih baik dari cara yang pertama dan kedua tetapi tidak cukup. Mengapa?
Mengamalkan Islam hasil pengajian sekolah, pondok itu, matlamatnya untuk timba ilmu. Lebih banyak menghafal. Kalau ada peperiksaan,ia lebih bermaksud untuk lulus periksa. Pendidikannya lemah. Kalau pendidikannya lemah, penghayatannya juga lemah. Sebab itu apakah hasil yang kita lihat? Apakah boleh berkasih sayang? satu pondok yang ada 20 ribu orang pelajar, apakah boleh bersatu, boleh berkasih sayang? Apakah terbangun ekonomi, kebudayaan dan kemasyarakatan di situ? Tidak.
Kadang-kadang ada pondok yang kita lihat, di pondok mengaji bab berniaga.Tetapi yang berniaga dekat pondok itu adalah Cina. Rupanya ilmu kita dapat tetapi hasilnya orang kafir dapat. Sebab ilmu kurang dihayati sebab kurang didikan. Hanya memperkatakan ilmu.
Orang yang buat Islam secara ketiga ini akan lahirkan dua puak iaitu kalau dia tak berjuang, dia jadi pasif. Makan minumnya disuap. Kalau dia berjuang, dia jadi militan. Ganas dan bunuh orang. Lagi sekali umat Islam tak dapat apa-apa hasil. Hasil pengajian, umat Islam tidak dapat apa-apa kekuatan, tidak dapat berkat, tidak dapat nikmatnya. Sekadar di pesantren itu pun tidak dapat. Buktinya ekonomi pun tidak dapat. Pengamalan kena jaga. Inilah kategori ketiga orang beragama.

4. Kategori keempat, orang yang beragama perlu ada pemimpin. Pemimpin monitor selalu. Bila beragama kena berjemaah berdasarkan sabda Rasululllah, "Wajib kamu berada di dalam jemaah." Rasulullah kata wajib. Bila berada dalam jemaah, dipimpin oleh pemimpinnya, maka Rasulullah kata, "Adanya jemaah itu rahmat, berpecah itu azab." Tuhan hendak datangkan rahmat atas dasar jemaah atau kelompok. Di pondok bukan jemaah. Sekadar bertemu. Kita kena faham bahawa umat Islam hanya diberkati Tuhan bila mana dia ada jemaah. Jemaahlah yang buat aktiviti ke dalam dan ke luar. Aktiviti ke dalam untuk membangunkan kekuatan ahlinya, aktiviti ke luar adalah seperti berdakwah, berjihad, buat perhubungan, mencetuskan berbagai-bagai keperluan umum dari kekuatan yang telah wujud dalam jemaah.
Golongan yang keempat ini sudah beratus tahun tidak ada. Secara umumnya tidak ada. Sebab itu rahmat Tuhan tidak dapat. Bila Tuhan tidak rahmati maka tidak ada kekuatan. Bila lemah, musuh catur kita. Kita tidak pernah diajar oleh ulama tentang peranan jemaah, peranan pemimpin dan ciri-ciri pemimpin. Padahal bila dapat pemimpin sebenar, kita dapat ayah,ibu, guru, pemimpin dan kawan setia. 5 ciri pada pemimpin sebenar. Tidak ada mak ayah pun tidak apa kalau dapat pemimpin. Tapi hari ini mana ada pemimpin yang ada 5 ciri ini. Bertemu pemimpin sebegini, rasa bahagia. Berpisah rasa rindu. Mana ada. Sebab kita tidak pernah diajarkan ciri-ciri pemimpin dan peranan pemimpin.

Sekarang kita boleh faham mengapa umat Islam hari ini terumbang-ambing. Walaupun dilaungkan `bersatu`, secara rela tidak ada orang buat. Buat kerana terpaksa.Diharapkan fikiran kita dah mula terbuka dan faham mengapa beragama tetapi hasilnya tiada. Beragama itu indah tetapi kita tidak rasa indah.Kita rasa terpaksa. Sebab kita tidak ambil agama itu secara logik, secara faham dan penghayatan.
SEKIAN 

No comments:

Post a Comment